Friday, October 26, 2012

Tadhiyyah

Eiduladha, suatu perayaan yang cukup sinonim dalam masyarakat Islam dalam ibadat korban. Binatang-binatang berkaki empat tumpas di tangan manusia dalam mencari keredhaan Ilahi. Percikan darah dari mereka menjadi simbolik pengorbanan yang berlaku pada zaman Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. Tak berniat nak bercerita mengenai sejarah, apatah lagi aku memang lemah bab-bab bercerita, tapi lebih suka untuk aku mengambil ibrah atau pengajaran dari apa yang berlaku.

Perkataan "korban". Berkorban ertinya kita memberi sesuatu yang menjadi milik kita yang kita sayangi untuk dijadikan sebagai infaq kepada sesuatu dan pastinya berlaku pertukaran hak milik. Berkorban tenaga memberikan tenaga kepada sesorang, berkorban jiwa untuk mempertahankan negara, berkorban harta benda dalam meletakkan keperluan umat di hadapan. Semuanya benda yang kita sayang, semuanya benda yang kita susah untuk lepaskan, dan disitulah sebenarnya nilai sebenar akan sesuatu pengorbanan yakni tadhiyyah.

Dalam kehidupan seharian sebagai seorang pelajar, kita tak boleh melarikan diri daripada melakukan pengorbanan. Pengorbanan untuk sahabat-sahabat, pengorbanan dalam mengejar cita-cita, pengorbanan untuk masyarakat-masyarakat setempat. Tipu untuk anda katakan anda tidak pernah melakukan pengorbanan kerna setiap orang punya pengorbanan mereka yang tersendiri. Nak tak nak, kita kena akui bahawa pengorbanan itu merupakan salah satu 'essence'  dalam kehidupan kita. Tanpa pengorbanan manusia takkan mampu hidup, takkan mampu untuk membina sesuatu.

Menyusuri sirah Nabi Muhammad S.A.W., banyak pengorbanan yang baginda lakukan, kalau hendak dibilang memang tak terkira jutaan bintang di sekalian langit. Dengan pengorbanan baginda, kita masih mampu pada hari ini untuk mengucapkan kalimah tauhid, masih mampu untuk mempelajari akan kewujudan tuhan, dan masih mampu untuk terus berada dalam ad-deen. Pernah terfikir kenapa baginda dan sahabat-sahabat sentiasa melakukan pengorbanan dalam menegakkan syariah Allah?. Ini kerana rasa sayang dan kasih baginda terhadap kita umat nabi akhir zaman. Pengorbanan takkan berlaku tanpa rasa sayang. begitulah aturan yang ditunjukkan.

Jadi, belajarlah wahai sahabat-sahabat untuk menghayati erti korban, bukan sekadar binatang sembelihan semata-mata, tapi falsafah sembelihan itu lebih mendalam dari apa yang kita sangka. Sikap ingin berkorban perlu disemai dalam hati, moga-moga Allah membalas dengan kasih sayangnya di akhirat kelak.
Jom sama-sama ke syurga.... AllahuA'lam 

No comments:

Post a Comment